[ad_1]

Pengalaman adalah guru yang terbaik dalam hidup. Begitu juga dengan Mohd Afiq Muhamad, pengasas Tok Suri Catering and Food Services (TSC). Kesusahan yang dilalui menjadikan beliau terus gigih merancang satu demi satu perancangan dalam usaha untuk memajukan pernigaannya. Kepayahan yang dialami menjadikan beliau gigih mencari nafkah demi untuk menyara keluarga. Anak sulung daripada tujuh beradik ini merupakan anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pernah berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam di Wakaf Che Yeh, anak muda yang hanya mempunyai kelulusan SPM ini mengambil keputusan untuk mencuba sesuatu yang baru bagi memajukan diri dengan menceburkan diri dalam bidang katering yang menyediakan perkhidmatan penyediaan makanan yang mengutamakan pakej-pakej yang ekonomi dan murah untuk membantu meringankan beban bakal pengantin yang berniat mendirikan rumahtangga dengan kos yang ekonomi,bermula dari makanan, set lengkap kanopi, hidangan makan beradap dan pramusaji terlatih dalam satu pakej bermula dari harga RM3,000 untuk satu pakej lengkap.

Perniagaan ini dibantu oleh adik-beradik dan ibunya sendiri, Puan Mazlina Tan Abdullah sebagai tukang masak yang mempunyai pengalaman hampir dua puluh tahun dalam penyediaan gulai kawah. Beroperasi sepenuhnya di Kelantan, TSC menyediakan perkhidmatan ke seluruh negeri Kelantan kecuali Gua Musang dan Jeli. Bermula dengan modal dan peralatan dan sangat terhad, berkat sokongan keluarga, para pelanggan dan rakan terdekat, TSC semakin dikenali ramai. TSC hari ini mempunyai kakitangan hampir 20 orang dengan dua pembantu dapur dan pramusaji-pramusaji terlatih yang terdiri daripada pelajar kolej KPTL Kota Bharu yang sememangnya sudah mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

TSC tampil dengan kelainan apabila menawarkan pakej dengan 12 jenis minuman dan set Arabian Canopy secara percuma. TSC menyediakan pelbagai pakej ekonomi dengan harga mampu milik. Turut disediakan adalah pakej VIP dengan harga yang sangat minimum. TSC juga menawarkan pakej makanan tradisional Kelantan seperti laksam dan nasi ulam.

Terbaru, TSC muncul dengan beberapa pakej terbaru dengan harga yang berpatutan termasuk pakej penyediaan makanan yang disertakan dengan penyediaan dewan di Chalet Tok Abah Pantai Nipah, Bachok. Pakej ini amat bersesuaian bagi bakal mempelai yang menginginkan kelainan dengan meraikan hari bahagia mereka di tepi pantai. Deruan ombak dan angin yang berpuput lembut pasti menambahkan lagi suasana romantis hari bahagia mempelai. Pakej serendah RM8,000.00 ini adalah termasuk dengan hidangan buffet tetamu untuk 500 orang, hidangan meja VIP dengan set Dome Table untuk 32 orang, set hidangan makan beradap untuk 6 orang, satu dewan terbuka untuk majlis lengkap dengan kerusi dan meja, PA system yang disertakan dengan dj, dan juga 6 unit chalet beraircond untuk ahli keluarga mempelai.

Inspirasi dalam memulakan perniagaan

Menceritakan semula kisah kehidupan anak muda ini, beliau dibesarkan di dalam keluarga yang serba sederhana. Menyaksikan kepayahan ibunya bekerja sejak dari beliau kecil banyak memberi inspirasi kepada beliau. Ibunya pernah berniaga nasi bungkus secara kecil-kecilan pada setiap petang di tepi jalan di Pasar Jelawat. Setiap hari beliau akan membantu ibunya dengan menolak kereta sorong yang dipenuhi dengan barangan jualan ke tempat ibunya berniaga. Dibesarkan di dalam suasana serba sederhana dan hidup dalam keluarga yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan banyak memberi inspirasi kepada beliau untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Bapa beliau yang turut mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan juga banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada beliau.

Kepayahan yang dialami beliau dalam usaha untuk mengumpul wang bagi mendirikan rumah tangga turut menjadi pendorong untuk beliau mengasaskan TSC yang menawarkan pakej makanan pada harga ekonomi yang sangat minimum. Jerit perih dalam mengumpul wang yang pernah dilalui oleh beliau membuatkan beliau tekad untuk memulakan perniagaan di mana beliau dapat berniaga dan dalam masa yang sama dapat membantu memudahkan urusan perkahwinan mereka yang ingin mendirikan masjid akaan tetapi terbelenggu dengan masalah kewangan. Oleh yang demikian, tercetuslah idea perniagaan penyediaan makanan untuk majlis perkahwinan dengan harga ekonomi.

“Saya pernah rasa bagaimana rasanya mempunyai duit hanya RM5 dalam tangan untuk isi minyak kereta. Saya pernah rasa macam mana susahnya nak kumpul duit untuk kahwin. Kemudian saya buat keputusan, saya nak berniaga tapi dalam masa sama untuk tolong anak-anak muda merealisasikan impian perkahwinan mereka. Sebab itu saya buat pakej dengan harga ekonomi.” Kata beliau dalam sesi temuramah yang dijalankan.

Pengasas Tok Suri Catering and Food Services (tiga dari kiri) bersama pramusaji TSC yang terlatih.

Rahsia kejayaan

Ditanya tentang rahsia kejayaan yang dikecapinya, anak muda ini hanya tersenyum. “Jangan sesekali kedekut. Jangan kedekut berbelanja untuk keluarga. Kerana di situ letaknya keberkatan dalam rezeki kita. Bila kita keluarkan belanja untuk keluarga kita, InshaaALLAH Allah bagi lebih lagi. Itu prinsip saya dari dulu sampai sekarang.”

“Jangan kedekut untuk bersedekah. Jangan takut kalau sekalipun seseorang pengemis itu menipu mereka susah, sebab tu urusan mereka dengan Allah.” Tambah beliau lagi.

Dalam masa yang sama, beliau juga turut berpegang teguh dengan prinsip ‘client is always right’. Beliau amat menitik beratkan hubungan yang positif antara kru TSC dengan pelanggan-pelanggan beliau. Beliau banyak menekankan konsep ini dalam diri pekerja-pekerja beliau kerana beliau percaya pelangan adalah kelompok yang memainkan peranan yang sangat penting dalam jatuh bangun sesebuah perniagaan. Tanpa pelanggan, TSC tidak akan mampu berdiri teguh sebagaimana ia berdiri hari ini.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh TSC hari ini diterima dengan penuh rasa syukur. Dengan purata pendapatan yang dikecapi oleh TSC pada hari ini, mereka terus gagah mengorak langkah dan gigih malakar satu demi satu perancangan dalam usaha memperkenalkan lagi TSC secara lebih meluas.

Oleh: Siti Hajar Afiqah Muhamad / sitihajarafiqahmhmd@gmail.com

[ad_2]
Sumber Asal & Berita Penuh

Leave a Reply