KakNab Steamboat sememangnya bukan nama yang asing bagi masyarakat Kelantan yang pernah merasai steamboat yang terlajak murah, pilihan banyak serta kuah yang sangat sedap. Ramai daripada mereka pergi ke pasar malam adalah semata-mata untuk mendapatkan steamboat KakNab dan ia menjadi satu kewajipan.

Belum siap menyusun barang jualannya, gerai ini sudah dipenuhi orang ramai yang sanggup menunggu dan beratur panjang seawal 5.30 petang. Bagi mereka, ianya tidak menjadi masalah kerana penantian tersebut berbaloi bagi memuaskan selera masing-masing.

Orang ramai sanggup menunggu giliran bagi mendapatkan steamboat KakNab

Perniagaan mencecah 31 tahun, KakNab atau Puan Zainab Osman memulakan perniagaannya pada 15 Jun 1986 sebagai sumber pendapatan. Siapa sangka dengan hanya bertapak di pasar-pasar malam, KakNab steamboat telah muncul sebagai gerai steamboat paling tersohor No.1 di negeri Kelantan.

Ibu kepada seorang anak ini memulakan perjalanan seharian beliau pada awal pagi ke Kota Bharu bagi mendapatkan bahan-bahan steamboat dan keluar berniaga lebih kurang pukul 4 petang.

KakNab steamboat menjalankan perniagaannya 7 hari seminggu. Bermula di pasar malam Machang setiap hari Isnin. Kini KakNab telah menguasai hampir seluruh pasar malam di Kelantan iaitu pasar malam Pekan Jelawat dan Tanah Merah setiap Selasa, pasar malam Pasir Mas dan bandar Kuala Krai setiap Rabu, pasar malam Ketereh setiap Khamis, pasar malam Pantai Irama Bachok setiap Jumaat dan juga Pasar Malam Bandar Tanah Merah setiap Sabtu.

Steamboat yang dihidang bersama kuah istimewa pedas dan manis

Sajian steamboat disediakan dengan dua jenis kuah pekat yang cukup sedap iaitu perisa manis dan pedas yang mungkin rasanya tidak akan ditemui di tempat lain.

Menyentuh tentang proses penyediaan kuah, KakNab sangat menjaga kualiti keenakan kuah steamboatnya. “Kuah disediakan sebelum saya keluar mendapatkan bahan steamboat. Saya dah siap sediakan kuah dan dibiarkan mendidih di atas dapur sehinggalah pukul 4 petang. Penyediaan kuah dilakukan setiap hari, saya tidak berkira walaupun tong gas besar hanya mampu bertahan selama dua hari sahaja. Kalau KakNab tidak menjaga kualiti dan bermain-main dengan perniagaan, KakNab tidak akan mampu bertahan sampai ke hari ini.”

Puan Zainab Osman berkata, sambutan pelanggan amat menggalakkan dan hampir seluruh rakyat Kelantan mengenali Steamboat KakNab. Harga yang ditetapkan adalah bergantung kepada jenis dan warna bekas yang disediakan.

“Walaupun harga bahan mentah telah naik, namun KakNab cuba meletakkan harga yang paling rendah untuk pelanggan. Biarlah harga murah dan hanya dapat untung kecil, namun jika pelanggan ramai datang serbu, ianya akan menjadi untung yang besar.”

Wanita yang berasal dari Ketereh ini berpegang kepada tiga perkara dalam menjalankan bisnesnya. Jujur, amanah dan ikhlas. “Saya yang mengira jumlah bahan steamboat yang dipilih pelanggan dengan amanah. Contohnya, kalau harga RM4.90, saya tidak akan genapkannya menjadi RM5. Keberkatan penting bagi mengukuhkan bisnes untuk bertahan sampai ke hari ini.”

Oleh: Siti Nur Zuraikha Binti Yaacob

Sumber Asal & Berita Penuh

Leave a Reply