[ad_1]

Pengalaman melalui saat sukar dek kesempitan wang mendorong ibu kepada dua cahaya mata ini untuk memulakan perniagaan menjual bunga secara kecil-kecilan menggunakan kenderaannya sendiri.  Bagi Sandra Kumari, 54 beliau tidak mempedulikan pandangan orang ramai terhadap perniagaannya itu kerana apa yang penting baginya ialah beliau mencari rezeki hanyalah untuk meneruskan kehidupan disamping dapat menyara ke dua-dua orang anaknya itu.  Pernah satu ketika dahulu, beliau tidak mempunyai wang untuk membeli susu anaknya yang masih kecil.  Beliau terpaksa meminjam wang daripada ahli keluarga dan rakan-rakan. Tak kurang juga pelbagai hinaan dan cacian dilemparkan kepadanya ketika itu. Namun beliau tekad dan tabah menghadapi dugaan tersebut.

Ubah Nasib

“Dahulu saya hanya bekerja makan gaji dengan pendapatan yang tidak seberapa, oleh itu agak sukar untuk saya menyara kehidupan kami sekeluarga”.  Bagi beliau saat sukar itu tidak pernah dilupakan, sebaliknya menjadi pembakar semangat buatnya untuk bangkit daripada kesusahan hidup.

“Saya hanya bekerja di sebuah kilang di sekitar Shah Alam, namun wang tersebut tidak mencukupi untuk saya membeli dan menyediakan segala keperluan buat anak-anak saya”, tambahnya lagi.  Bertitik tolak dari situ, beliau tekad untuk mengubah nasib hidup dan mencari ikhtiar dengan menjual pelbagai jenis bunga semasa musim konvokesyen.  “Saya hanya belajar sendiri untuk mengubah bunga, tidak ada orang yang ingin memberi tunjuk ajar kepada saya kerana saya tidak mempunyai wang, jadi saya tekad untuk belajar sendiri dan hampir setiap malam saya tidak dapat tidur hanya untuk menyiapkan bunga-bunga tersebut”, ujarnya.

Mula Perniagaan

Bercerita lanjut mengenai perniagaan tersebut, Sandra menjelaskan perniagaan itu bermula sekitar tahun 2013, dan sehingga kini beliau masih lagi menjalankan perniagaan menjual bunga secara kecil-kecilan. Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa kos sara hidup semakin meningkat, dan kos untuk membeli bunga juga semakin bertambah, oleh itu beliau terpaksa meletakkan harga yang agak tinggi pada sesetengah bunga jualannya. “Kadang-kadang pelanggan merungut, kata bunga saya mahal, tetapi mereka tidak tahu kos bunga semakin meningkat dan saya juga perlu memikirkan kos pengangkutan untuk ke tempat konvokesyen tersebut kerana jarak perjalanan untuk ke sesuatu tempat konvokesyen itu amatlah jauh, ujarnya lagi. Beliau menjelaskan bahawa, berniaga bunga secara kecil-kecilan ini bergantung kepada nasib. “Jika nasib saya baik, saya akan dapat ramai pelanggan, jika tak baik saya akan pulang dengan tangan kosong”, ujarnya lagi.

Pelanggan membeli bunga yang digubah oleh Sandra

Pengalaman lalu

Menurut beliau, satu ketika dahulu beliau terpaksa mengikat perut demi untuk memenuhi keperluan keluarganya. “Anak saya masih belajar dan ada yang masih kecil, oleh itu saya memerlukan wang untuk menanggung  perbelanjaan mereka.  “Saya juga terpaksa berlapar kerana tiada wang untuk membeli makanan,” ujarnya dengan perasaan sebak sambil menceritakan pengalaman lalu.

Untuk menyara hidup, beliau tidak mempedulikan hujan mahupun panas kerana baginya setiap waktu amatlah beharga untuk  mencari rezeki. “Saya pernah menjual bunga di dalam hujan kerana pada ketika itu, saya ingin menggunakan wang untuk membayar yuran persekolahan anak saya” katanya lagi.

“Memang saya susah tetapi semua itu bukan alasan untuk saya meminta simpati orang”, ujar Sandra.  Beliau juga berpegang kepada prinsip untuk menjadi manusia biasa haruslah meraih kejayaan atas usaha sendiri, bukan dengan hanya bergantung di atas ihsan orang lain sahaja.

Hasil perniagaan Sandra yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang hanya mampu memenuhi tanggungjawabnya untuk membesarkan dua orang anaknya yang masih belajar.  Semuanya bergantung kepada berapa ramai pelanggannya yang membeli bunga daripada beliau.  Sandra lebih memilih untuk menjual bunga di kawasan yang kurang tumpuan bagi megelakkan persaingan.  Jika hendak dibandingkan perniagaan kecil Sandra dengan peniaga lain, sudah tentu beliau sukar untuk mendapatkan pelanggan.

“Kalau saya hendak untung lebih, saya terpaksa rajin daripada biasa. Kalau tak, apa yang saya dapat hanyalah cukup-cukup makan sahaja”, jelasnya.  Beliau sering bergerak aktif ke universiti- universiti yang menjalankan konvokesyen atau apa-apa upacara yang penting untuk menjual bunga yang digubahnya itu.

“Memang sangat penat tapi apa boleh buat? Saya berharap hasil titik peluh saya dapat membantu anak-anak saya nanti. Saya hanya berharap mereka tidak lupa pengorbanan saya dan menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Saya tidak mahu anak-anak saya nanti hidup susah juga seperti saya”, ujarnya sebelum mengakhiri perbualan. Ternyata beliau bersusah payah hanyalah untuk masa depan anak-anaknya dan bukanlah untuk kesenangan dirinya sendiri.

Sandra menunggu pelanggan untuk menjual bunga yang digubahnya

Disediakan oleh: Raqeema Hashirin Binti Rohimi 177804

[ad_2]
Sumber Asal & Berita Penuh

Leave a Reply