[ad_1]
Oleh: Tun Nur Khairulnissa binti Tun Mahadi / tunnurkhairulnissa@outlook.com

Isma Izzat bin Samuri atau lebih mesra dipanggil Isma merupakan seorang pelajar jurusan Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga merupakan seorang usahawan produk Wondercheese. Berumur 24 tahun dan mula bergiat aktif menjadi ejen Wondercheese  bermula November 2016 setelah diperkenalkan oleh rakan di dalam pasukan bola sepak yang disertainya.

Apabila ditanya mengenai bagaimana tercetusnya idea untuk mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, jawapan yang diterima cukup untuk memberi semangat kepada graduan lain yang minat untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Menurut Isma, beliau sudah lama bercita-cita untuk berniaga, namun tiada idea yang sesuai sehingga pada cuti semester bermula Julai 2016 dimana beliau mula menjual kek secara kecil-kecilan di tepi jalan dan turut dipasarkan di koperasi sekolah. Usaha ini berterusan sehingga bermula semester baru dimana beliau membuka jualan di tepi jalan dan di Fakulti Pertanian. Perniagaan kek ini berterusan sehingga Isma bertemu dengan ejen Wondercheese dan perlahan-lahan beliau beralih fokus.

Cabaran yang Dihadapi Apabila Belajar Sambil Berniaga

Seperti usahawan yang lain, kejayaan Isma pada hari ini juga bermula dengan beberapa konflik dan cabaran yang perlu ditempuhi untuk mendapatkan hasil yang memberangsangkan. Beliau berkata pada mulanya agak sukar untuk mula berniaga kerana tiada pengalaman dan perlu membahagikan masa untuk kelas dan berniaga. Tambahan beliau lagi, modal pusingan dan penambahan modal juga merupakan salah satu cabaran yang paling besar yang perlu dihadapai.

“Saya juga bergelut dengan masa untuk mencari pendapatan sampingan dan pada masa yang sama perlu ke kelas, menyiapkan tugasan dan Projek Ilimiah Tahun Akhir.”

Tambahnya lagi, beliau juga perlu pandai mengawal emosi terutamanya apabila berhadapan dengan pelanggan yang bermacam ragam.

Apabila ditanya mengenai tulang belakangnya, beliau menerangkan bahawa keluarga dan rakan-rakannya banyak memberi semangat dan dorongan untuk beliau terus menceburkan diri dalam bidang yang diminatinya.

Isma juga turut berkongsi rahsia mengenai usaha yang dilakukan untuk beliau terus memajukan diri dimana yang paling utama ialah pengurusan masa dan wang. Beliau juga sentiasa bertanya kepada yang berpengalaman, mengambilnya sebagai pedoman dan cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Dengan tekad dan semangat yang tidak pernah luntur membuahkan hasil apabila beliau mendapat anugerah dari syarikat pengeluar sebagai Ejen Belia Harapan dan tersenarai dalam Top 50 Ejen Wondercheese se-Malaysia. Selain itu, pada April 2017 pula beliau telah ditawarkan untuk menjadi stokis.

“Allah tidak akan memberi ujian kepada hambanya yang tidak mampu untuk hadapi” merupakan kata-kata yang dipegang oleh Isma setiap kali menghadapai cabaran dalam setiap yang dilakukan. Beliau juga turut menasihati graduan yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan agar perlu rajin untuk belajar dan menuntut ilmu dari individu yang lebih pakar.

Isma bersama produknya sebelum dihantar kepada pelanggan.

[ad_2]
Sumber Asal & Berita Penuh

Leave a Reply