Bangkit dari kesedihan yang pernah hinggap dalam kamus perjalanan hidup beliau, wanita hebat ini kini mampu berdiri sebaris dengan tokoh-tokoh keusahawanan di Malaysia. Puan Awaeng Anak Kwasin atau lebih dikenali dengan Puan Awin kini semakin dikenali menerusi penglibatan beliau dalam sektor perniagaan. Hampir tiga belas tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, anak jati kelahiran Sarawak ini tidak pernah melupakan asal-usul beliau. Sepanjang tiga belas tahun penglibatan beliau dalam bidang ini, kejayaan yang dikecapi beliau harini tidak pernah terbayang di minda beliau. Siapa sangka, wanita yang tampak ceria ini punya seribu satu kisah suka dan duka sebelum berjaya mengecapi bahagia yang dirasai hari ini.

Berbekalkan wang simpanan yang ada, beliau memulakan perniagaan yang pada mulanya hanya bertumpu kepada  pengurusan sumber manusia dan pembekalan tenaga kerja. Setelah hampir satu dekad, idea untuk memulakan perniagaan lada hitam asli daripada sarawak mula timbul melihatkan permintaan terhadap lada hitam sarawak yang agak tinggi. Tidak hanya lada hitam, permintaan terhadap lada putih Sarawak juga agak tinggi.

Mengimbau kembali kepayahan hidup yang pernah dilalui, Puan Awin dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana. Pernah suatu ketika dahulu beliau dan ibunya berniaga sayur-sayuran di Pasar Satok. Beliau juga dibesarkan di dalam keluarga yang mengusahakan tanaman lada hitam. Secara tidak langsung, minat untuk memasarkan lada hitam Sarawak secara lebih meluas sememangnya sudah wujud dalam diri beliau.

Puan Awaeng, pemilik lada hitam dan lada putih Nang Ori di kebun lada hitam milik keluarganya di Kuching, Sarawak.

Hampir setahun berada di pasaran, permintaan terhadap Nang Ori, lada hitam asli daripada Sarawak ini semakin meningkat dari sehari ke sehari. Nang Ori pada awalnya memasuki pasaran dengan nama Joeyees sempena nama anak perempuan beliau, namun atas nasihat sifu beliau yang sememangnya pakar dalam sektor ini, nama Joeyees ditukarkan kepada Nang Ori bagi melambangkan lada hitam asli dari Sarawak yang terkenal dengan kualiti lada hitamnya yang terbaik di dunia.

Antara keunikan serta kelebihan lada hitam Nang Ori adalah ianya berkualiti tinggi dan berada pada gred premium, iaitu lada hitam yang paling bermutu tinggi. Dalam pada masa yang sama, produk ini adalah produk yang diiktiraf sebagai petunjuk geografi. Umumnya, ramai yang sudah sedia maklum bahawa lada hitam memainkan peranan penting serta kaya dengan khasiatnya tersendiri. Lada hitam sangat bagus bagi membuang angin dalam badan, mengawal selera makan, membuang toksin dalam badan, melancarkan pelawasan, memanaskan badan dan banyak lagi.

Oleh kerana lada hitam juga berfungsi untuk menambahkan kesedapan dan kelazatan dalam masakan, lada hitam Nang Ori mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha-pengusaha makanan terutamanya restoran makanan barat. Oleh kerana kualitinya, permintaan terhadap lada hitam dan lada putih Nang Ori daripada pengusaha restoran makanan barat juga semakin menampakkan impak positif.

Oleh Siti Hajar Afiqah Muhamad & Raqeema Hashirin Rohimi

 

Sumber Asal & Berita Penuh

Leave a Reply