IPOH – Sebuah kolam penternakan ikan air tawar di kawasan seluas lima hektar di Kuala Dipang, Kampar dipercayai memberi makanan yang terdiri daripada daging dan tulang khinzir kepada ternakan.Perbuatan jijik itu dikesan dalam operasi dijalankan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Alam Sekitar Perak dan Jabatan Perikanan Perak serta beberapa agensi lain semalam.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIP. Gambar ihsan Sinar Harian

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIPk Yusri Abdul Rani berkata menerusi operasi bermula 10 pagi itu beberapa tulang dan kesan daging haiwan berkenaan ditemukan di kawasan kolam.

“Kami terpaksa melepasi tiga pagar yang pihak kolam ini melarang sesiapa masuk sesuka hati dan kedatangan kami juga seperti diketahui pemilik kolam sebelum dia dipercayai beredar dari kolam itu.

“Kawasan yang dikatakan tempat pelupusan tulang khinzir juga cuba dilupuskan sebaik mereka mengetahui kedatangan kami,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Yusri berkata kolam ternakan yang juga bekas lombong bijih timah itu dipercayai beroperasi sejak lebih lima tahun lalu, menternak pelbagai jenis ikan termasuk patin, rohu dan tilapia.

 

Kawasan lombong yang dijadikan kolam ternakan ikan telah beroperasi sejak lima tahun lalu.
Kawasan lombong yang dijadikan kolam ternakan ikan telah beroperasi sejak lima tahun lalu.

“Kami percaya kesemua ternakan ini dipasarkan di sekitar Perak dan Pasar Selayang (Selangor) dan kami mahu pengguna lebih berhati-hati ketika membeli ikan ini,” katanya.

Yusri berkata ikan yang diberikan makanan berunsurkan makanan haram seperti daging atau tulang khinzir telah dikategorikan haram dan masyarakat Islam perlu peka mengenai perkara tersebut.

“Masalah ini timbul kerana sikap penternak yang mahu mengaut untung besar sehingga tidak mempedulikan sensitiviti agama dan melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak Dr Bah Piyan Tan ketika dihubungi berkata semakan mendapati kolam ternakan tersebut tidak pernah didaftarkan di bawah Jabatan Perikanan dan beroperasi secara haram.

Beliau berkata susulan perkara itu, pihaknya akan mengambil sampel ikan di kawasan berkenaan untuk dihantar ke makmal kimia di Kuala Lumpur secepat mungkin untuk dianalisis jika terdapat DNA khinzir.

“Keputusannya akan diketahui beberapa minggu lagi,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply